Rencana
Apa akan terjadi pada industri filem tempatan pada tahun ini?


Tarikh disiarkan: 12 Julai 2020

Penerbit filem kini mengambil langkah berhati-hati sebelum tayang filem mereka di pawagam untuk elak risiko rugi besar.
Penerbit filem kini mengambil langkah berhati-hati sebelum tayang filem
mereka di pawagam untuk elak risiko rugi besar.

Dua tahun kebelakangan ini industri perfileman tanah air tampak seperti mendapat sinar harapan baru apabila berjaya mencipta rekod baru dengan meraih kutipan lebih RM100 juta berturut-turut iaitu RM120 juta (2018) dan lebih RM130 juta (2019).

Kejayaan itu dilihat akan berteruskan pada tahun 2020 apabila beberapa filem besar tanah air dijangka akan diriliskan pada tahun ini, namun betulah kata pepatah; 'Kita merancang tetapi Tuhan yang menentukannya' apabila tahun ini seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19 yang mana menyaksikan negara yang terjejas terpaksa mengumumkan perintah berkurung termasuklah di Malaysia yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.


Susulan PKP, seluruh pawagam di negara diarahkan ditutup dan selepas lebih tiga bulan pihak kerajaan akhirnya membenarkan pawagam untuk kembali beroperasi bermula 1 Julai 2020. Pengumuman itu nyata memberi kelegaan kepada pengendali rangkaian pawagam dan juga penerbit filem yang tak sabar mahu menayangkan filem mereka di layar perak.

Memandangkan kita sudah pun memasuki suku tiga tahun ini, jadi apa yang akan jadi pada industri filem tempatan tahun ini tiada siapa yang tahu. Bagaimanapun kali ini Cinema Online ingin kupas sedikit mengenai situasi industri filem tempatan ketika ini.

Hanya 14 buah filem ditayangkan sepanjang Jan-Mac


Selepas kejayaan besar pada tahun 2019, ramai yang tidak sabar untuk melihat prestasi cemerlang itu berterusan pada tahun 2020 ia bermula dengan langkah kanan dua filem besar iaitu "Rock 4: Rockers Never Dai" dan "Mama" berjaya mendapat kutipan pecah panggung.

Bagaimanapun langit tidak selalu cerah dan malang buat sebuah lagi filem besar iaitu "Bulan & Pria Terhebat" yang terpaksa menghentikan tayangan mereka selepas baru sahaja beberapa hari ditayangkan di pawagam susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Sepanjang tempoh tiga bulan, hanya 14 buah filem tempatan sahaja ditayangkan termasuklah filem Cina dan Tamil dan secara keseluruhannya hanya berjaya mengutip lebih RM10 juta berbanding RM45 juta pada tempoh sama tahun 2019.

Jumlah kutipan yang rendah ini bukanlah indikasi yang mengatakan industri filem tempatan mengalami kemerosotan prestasi sebaliknya ia berlaku kerana pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Anda harus ingat bukan industri filem Malaysia sahaja terjejas, tetapi industri filem terbesar dunia seperti Hollywood dan Bollywood juga lebih teruk terjejas.

Beberapa filem tempatan ambil alternatif tayang filem di platform lain


Pelaksanaan PKP bukan sahaja menjejaskan pihak pengendali pawagam, tetapi juga penggiat seni terutamanya penerbit yang terpaksa menunda tayangan filem mereka berikutan pawagam ditutup sepanjang tempoh lebih tiga bulan.

Namun, dalam dunia moden ini penerbit boleh mencari alternatif lain untuk menayangkan filem mereka iaitu samada tayang di platform stesen tv berbayar atau di platform digital. Beberapa buah filem tempatan telah membuat keputusan alternatif dengan menayangkan filem mereka di saluran Astro First.

Filem tempatan pertama yang ditayangkan di Astro First adalah "Manap Karaoke" sebelum disusuli "Syif Malam Raya", "Ada Apa Dengan Dosa" dan terbaru "Town Mall". Apa yang mengejutkan adalah sambutan yang diterima sangat memberangsangkan terutamanya filem "Syif Malam Raya" yang berjaya meraih kutipan lebih RM3 juta selepas 10 hari tayangannya.

Kejayaan filem arahan Dato' Profesor Dr. A Razak Mohaideen meraih kutipan pecah panggung di Astro First mungkin akan menjadi salah satu faktor untuk penerbit filem tempatan lain mencuba alternatif ini untuk tayang filem mereka.

Penerbit filem tak yakin mahu tayang filem mereka di pawagam


Jika sebelum ini ramai penggiat seni terutamanya penerbit filem tidak sabar menunggu pawagam dibuka semula kerana tayang filem mereka, tetapi apabila pihak kerajaan telah memberi 'lampu hijau' untuk pawagam dibuka semula, kebanyakkan pembikin filem tidak yakin pula untuk menayangkan filem mereka di pawagam buat masa ini kerana bimbang tidak mendapat pulangan kutipan yang disasarkan.

Perkara itu disuarakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) iaitu Zahrin Aris yang menjelaskan rata-rata penerbit tidak berani menayangkan filem mereka di pawagam ketika ini kerana prosedur operasi standard (SOP) yang ketat iaitu tidak boleh melebihi 250 individu bagi setiap sesi tayangan dan tertakluk kepada kapasiti dewan.

Oleh itu, ramai penerbit yang mengambil sikap berhati-hati dan mahu melihat situasi terlebih dahulu sebelum ambil keputusan samada mahu tayang di pawagam atau tidak. Kemungkinan mereka akan menunggu sehingga pihak kerajaan membenarkan pawagam beroperasi dalam kapasiti penuh seperti sebelum ini.

Hanya filem "Roh" sahaja yang disahkan akan ditayangkan di pawagam


Ketika ini menurut PFM, hanya sebuah sahaja filem tempatan yang disahkan akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi iaitu filem "Roh". Filem itu dijadualkan akan mula ditayangkan di seluruh negara bermula 6 Ogos nanti.

Bagaimana pula dengan filem lain? Buat masa ini tiada maklumat terbaru mengenai filem tempatan manakah yang akan ditayangkan berikutan filem yang sudah ada tarikh tayangan sebelum ini telah beralih ke platform Astro First.

Sepatutnya tahun ini merupakan tahun paling 'gempak' berikutan ada banyak filem besar bakal ditayangkan antaranya "Abang Long Fadil 3", "Polis Evo 3", "Munafik 3", "Mat Kilau" dan beberapa lagi. Namun filem "Polis Evo 3" dan "Abang Long Fadil 3" telah disahkan tidak akan ditayangkan tahun ini dan hanya akan ditayangkan pada 2021.

Industri filem tahun 2020 tampak suram?


Jadi, berbalik kepada persoalan utama iaitu apakah akan terjadi pada industri filem pada tahun ini? Sejujurnya penulis sendiri tidak pasti samada prestasi industri akan meningkat dalam tempoh beberapa bulan ini. Bagaimanapun untuk tahun ini agak istimewa kerana kita tidak boleh mengatakan industri filem tempatan merosot teruk kerana perkara itu berlaku bukan kerana filem-filem tidak dapat sambutan tetapi akibat daripada pandemik COVID-19 yang diluar jangkaan kita.

Apa-apa pun penulis tetap menaruh sedikit harapan dan berharap beberapa filem besar yang penulis sebutkan di atas tadi akan ditayangkan pada tahun ini. Sekurang-kurangnya ada juga filem tempatan yang menarik boleh ditonton pada tahun ini.

Masih awal untuk membuat ramalan mengenai situasi industri ketika ini, jadi kita tunggu dan lihat pada penghujung suku ketiga tahun ini sebelum boleh membuat andaian samada tahun ini suram atau sebaliknya.

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide