Buletin
"Keluarga Iskandar The Movie" akan temui penonton di Astro First


Tarikh disiarkan: 7 Julai 2020

Barisan pelakon asal yang menjayakan
Barisan pelakon asal yang menjayakan "Keluarga Iskandar The Movie".

7 Jul – Jika kebanyakan penerbit filem sudah beralih arah ke platform digital dan stesyen televisyen satelit untuk menayangkan filem mereka, kini giliran KL Motion Pictures pula mengumumkan bahawa "Keluarga Iskandar The Movie" bakal ditayangkan di Astro First.

Perkara itu telah diumumkan oleh pengarah Wan Hasliza Wan Zainuddin, yang memberitahu ia adalah keputusan terbaik dan keputusan juga telah dibuat ketika COVID-19 masih pada tahap yang membimbangkan.

"Saya tidak letak sasaran tinggi, jika dapat melebihi kos RM700,000 pun sudah memadai. Apa yang menjimatkan, pada harga RM15, seisi keluarga dapat menonton filem ini.

"Seisi keluarga boleh menonton tanpa risau memikirkan aspek keselamatan seperti memakai pelitup muka atau menjaga penjarakan sosial. Malah, ia boleh ditonton mengikut keselesaan masing­masing di rumah," katanya yang dipetik dari BH Online.

Melihat reaksi pengguna media sosial, rata-rata para peminat tidak sabar menantikan tayangan filem itu, namun bagi mereka yang bukan pelanggan Astro, Wan Hasliza memberitahu dia akan cuba untuk menayangkan filem itu di platform digital.

Seperti sedia maklum, filem ini merupakan adaptasi daripada siri televisyen komedi popular "Keluarga Iskandar", yang menceritakan kehidupan seharian keluarga arwah Haji Iskandar yang terdiri daripada Mak Jah dan lima orang anaknya serta keluarga masing-masing.


Filem ini akan kembali menampilkan barisan pelakon asal termasuk beberapa muka baru seperti Kismah Johar, Hilal Azman, Zain Hamid, Anita Baharom, Sobri Anuar, Heira Hassan, Azhar Sulaiman, Khaireesya Kemal, Raja Ema dan ramai lagi.

Terdahulu, pihak penerbit telah menjadualkan tayangan pada September 2019, namun ditunda. Walau bagaimanapun, kini "Keluarga Iskandar The Movie" boleh ditonton di pawagam rumah anda pada 16 Julai 2020.

(Sumber foto: Emazing FC Twitter)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide